Thursday, March 20, 2014

ASAL JADI DUIT

KANGAR (20 Mac 2014) :  Asal jadi duit, dia pungut apa saja bahan terbuang diperbuat daripada besi, getah atau  atau plastic untuk dijual kepada pembeli barangan bagi proses kitar semula untuk mendapatkan wang perbelanjaan keluarga.
Demikian rotin sehari-hari kehidupan bekas pekerja buruh syarikat pengendalian kutipan sampah Majlis Perbandaran Kangar (MPK) , Ismail Ibrahim , 56 dari Kampung Chemumar demi mencari rezeki halal.
Dengan kudrat tulang empat kerat Ismail yang juga dikenali sebagai Mat Jadi boleh diibaratkan seperti  ` kais pagi makan pagi , kais petang  makan petang ’ kerana punca pencariannya yang semata-mata tertumpu kepada hasil penjualan barangan terbuang.
Ismail keluar rumah seawal 7.00 pagi, selepas menghantar anak ke sekolah dengan motosikalnya yang agak uzur dia terus memulakan pencarian barang buangan di setiap tapak buangan barang-barang berkaitan untuk dikumpulkan sebanyak mungkin.
“ Tak banyak, bolehlah RM20 atau RM30 sehari, tapi bukan setiap hari , kadang-kadang nak dapat RM10 pun belum tentu,” kata Ismail ditemui di luar Kompleks Dewan Undangan Negeri sedang mengumpul barang buangan diperolehinya.
Ketika ini enam daripada sembilan orang anak termasuk yang bungsu berumur 5 tahun masih di bawah tanggungan Ismail manakala tiga lagi anak perempuannya telah berkeluarga.
Menurut Ismail, keadaan kesihatannya juga menyebabkan dia tidak boleh melakukan kerja berat seperti buruh kontrak , maka itu sebabnya dia lebih selesa berkerja sendiri  dengan mengumpul barang buangan  yang boleh dijadikan sumber pendapatan meskipun tidak seberapa.
Pada masa sama Ismail juga turut mengidap sejenis penyakit usus disamping darah tinggi, kencing manis serta ketumbuhan di sebelah mata kanannya yang menyebabkan penglihatannya agak kabur, namun begitu kerja mencari rezeki keluarga tetap diteruskan.
Ismail yang mempunyai pendapatan tetap RM200 sebulan daripada  bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih sepuluh tahun lalu perlu meneruskan kehidupan bersama anak isterinya walaupun dalam keadaan daif serta menghadapi  gangguan kesihatan kerana dia merupakan ketua keluarga.  
Walaupun agak mustahil untuk dia merobah kehidupan keluarganya dengan pekerjaan yang dilakukan sekarang Ismail tidak ada pilihan kerana ini sahaja keupayaan yang ada pada dirinya- A.KARIM AHMAD.






No comments:

Post a Comment