Wednesday, October 9, 2013

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN USAHA SAMA PROJEK TERNAKAN AYAM SECARA BERPUSAT DI ANTARA KERAJAAN NEGERI PERLIS & TERRAMARK SDN BHD


Kangar- Perlis bakal menjadi pengeluar ayam berkualiti selepas kerajaan negeri mementerai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Syarikat Terramark Sdn.Bhd dengan nilai perlaburan sebanyak RM270juta di daerah Padang Besar.

Menurut Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Pembangunan Wilayah, Koridor, Kawasan Pertumbuhan Baru, Sabry Ahmad Projek Ternakan Ayam Segar itu bakal beroperasi pada awal Januari tahun depan apabila kerajaan negeri menyediakan dua lot tanah di kawasan berasingan kepada syarikat tersebut secara pajakan selama 60 tahun.

“Berdasarkan MoU terbabit, 200 ekar tanah yang dipajak di Chuping akan dijadikan tempat ternakan ayam secara tertutup dan 10 ekar lagi digunakan untuk pembinaan kilang makanan ayam.

“Kilang memproses makanan ayam itu dibina untuk menjaga kualiti ayam yang bakal diternak tidak lama lagi dengan mengikut standard yang ditetapkan,” katanya selepas majlis MoU berkenaan yang dimenterai oleh Pengerusi Terramark, Datuk Rosli Sharif dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man, semalam sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata selepas ini masyarakat Islam terutamanya tidak perlu lagi merasa ragu terhadap status ayam halal di pasaran kerana ia diternak mengikut teknologi yang tinggi selain makanan ayam itu sendiri adalah halal.

Katanya ayam-ayam yang diternak akan dipasarkan ke seluruh negara sebelum diperluaskan untuk pasaran antarabangsa.

“Jalinan kerjasama ini memberi kelebihan kepada kerajaan negeri apabila dapat memegang 10peratus pegangan ekuiti serta keuntungan RM325,500 setahun selepas tiga tahun ia beroperasi.

“Malah projek ini akan membuka peluang pekerjaan kepada 700 penduduk negeri Perlis dalam bidang teknikal,operasi dan penyelidikan yang secara tidak langsung ia akan meningkat ekonomi negeri selain pendapatan penduduk turut bertambah,”katanya.

No comments:

Post a Comment