PENGAWAL KESELAMATAN KESEMPITAN HIDUP
KANGAR- Seorang pengawal keselamatan, Nurdinar Bakar,32, menghadapi kesempitan hidup kerana terpaksa menyara enam orang anaknya dengan gaji sebanyak RM800 sebulan.
Nordinar seorang ibu tunggal bukan sahaja menyara kehidupan enam anak berumur sembilan bulan hingga 17 tahun bahkan ibunya juga yang tinggal bersama di sebuah rumah sewa di Kampung Pondok di sini dengan kadar sewa RM350 sebulan.
Anak sulungnya masih belajar di tingkatan lima sebuah sekolah menengah manakala empat lagi di sekolah rendah dan seorang di tadika.
“ Saya sudah tidak berdaya lagi untuk menyara kehidupan anak-anak yang semakin membesar dan menanggung perbelanjaan yang tinggi setiap hari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Nurdinar, setiap hari beliau terpaksa menyediakan lebih RM20 hanya untuk wang saku sekolah anak-anak disamping belanja untuk makanan dan lain-lain keperluan semasa.
Nurdinar yang berkerja dengan sebuah syarikat keselamatan sejak empat tahun lalu memperolehi pendapatan RM800 sebulan dan dengan wang sebanyak itu digunakan menyara keluarga anak dan ibunya.
Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis juga turut memberi bantuan RM300 sebulan untuk anak-anaknya sejak dua tahun lalu namun tidak mencukupi walaupun dicampur dengan gajinya.
Ujar Nurdinar, beliau membelanjakan kira-kira RM400 untuk keperluan anak kecilnya termasuk membeli susu sementara RM300 atau lebih untuk persekolahan lima anak yang lain setiap bulan tidak termasuk perbelanjaan makanan dan membayar hutang serta duit sewa rumah.
“Rumah yang saya sewa sekarang ada banyak masalah termasuk bumbungnya yang bocor sehingga saya terpaksa menahan banyak baldi setiap kali hujan turun
“Kalau boleh saya ingin mendapatkan rumah lain yang lebih selesa dan murah sedikit kadar bayaran bulanannya seperti di Pangsapuri Sena atau flat Wang Hulu kerana kadar sewa di situ yang hanya sekitar RM150 sebulan sedikit sebanyak mengurangkan beban yang saya tanggung,” ujarnya.
Nurdinar merayu agar pihak berkuasa tertentu termasuk kerajaan negerii atau JKM dapat mempertimbangkan untuk membantunya mendapatkan perumahan awam tersebut.
Katanya, dia kini agak tertekan apabila terpaksa berkerja dari pukul 7 pagi hingga 7 petang dengan pendapatan yang tidak setara untuk menyara kehidupan keluarganya.
No comments:
Post a Comment