Monday, January 6, 2014

POLIS BERKAS AH LONG

Kangar:  Kegiatan ceti haram atau Ah Long yang berselindung di sebalik perniagaan kedai basikal dan kafe siber di sebuah taman perumahan di Kangar berjaya dibongkar apabila pihak Polis berjaya menahan seorang lelaki berbangsa Cina berusia lewat 30-an dalam satu serbuan di sini Jumaat lalu.

   Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Zull Aznam Haron dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Perlis berkata, tangkapan itu adalah hasil maklumat awam.
   "Pihak Polis melalui Ops Cantas Khas (Ops Vulture) yang mensasarkan pembanterasan pemberi pinjaman wang haram di Perlis berjaya menahan seorang lelaki pada 3 Januari 2014 pada jam 10.30 pagi dipercayai menjalankan kegiatan sebagai Ah Long sejak lima tahun yang lalu."

   "Turut dirampas adalah beberapa dokumen dan peralatan yang boleh dikaitkan dengan kegiatan Ah Long melibatkan 80 orang peminjam aktif terdiri daripada orang persendirian dan juga peniaga kecil tidak kurang juga kakitangan awam, terutamanya individu yang telah disenarai hitam oleh institusi kewangan seperti bank." 

   "Kebanyakan urusniaga dijalankan di lokasi rumah suspek dan juga di dalam kenderaan. Menurut siasatan, didapati majoriti peminjam merupakan wanita dan lebih 90 peratus di kalangan peminjam adalah Melayu"
   
   "Sebahagian besar peminjam merupakan penduduk di sekitar Perlis terutamanya di Kangar, selain peniaga yang berada di sempadan Kedah/Perlis dan membayar balik pinjaman mereka secara tunai di rumah suspek selain ada yang membuat pembayaran secara memasukkan wang ke dalam akaun bank suspek."

   Menurutnya, setiap peminjam akan mengisi beberapa borang seperti borang maklumat diri, kad jadual bayaran pinjaman, termasuk menandatangani borang bertajuk I.O.U. berkemungkinan bermaksud "I Owe You" (saya berhutang kamu) tanpa mengisi maklumat maklumat lain termasuk nilai yang dipinjam dan dikepilkan bersama salinan kad pengenalan dan juga gambar peminjam yang dirakam di lokasi di mana transaksi peminjaman antara suspek dan peminjam dijalankan.
   Menurut siasatan, terdapat peminjam yang mendapat pinjaman serendah RM200 sehingga RM10,000 dan sebahagian daripada mereka membayar balik secara harian serendah RM60.00 dengan kadar faedah sebanyak 20 peratus daripada nilai yang dipinjam.

   Tambahnya, suspek telah ditahan reman sejak ditangkap pada 3 Januari 2014 dan perintah reman akan berakhir pada 7 Januari 2014 dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 (Pindaan 2011) jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 sehingga RM1,000,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebatan jika berjaya didakwa buat kali kedua.

   Beliau turut mengesahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Perlis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah menjalankan operasi bersama iaitu Ops Cantas Khas Vulture (Along) di dalam bandar Kangar pada 23 Disember 2013 dan menurunkan sebanyak 651 poster perkhidmatan Ah Long di seluruh negeri Perlis telah diturunkan sepanjang tahun 2013.

End...




No comments:

Post a Comment