Thursday, January 23, 2014

MB NASIHAT MUSNAHKAN POKOK KETUM


SANGLANG, 23 Januari – Menteri Besar Perlis, Tuan Azlan Man kecewa sikap segelintir penduduk 
di negeri  ini yang giat menanam pokok ketum sebagai pendapatan sampingan disebalik untuk 
tujuan perubatan.
Menurut beliau, tidak seperti di zaman orang tua-tua dahulu ketum atau dikenali juga sebagai pokok 
biak digunakan untuk mengubat penyakit-penyakit tertentu dengan meminum air daripada daun berkenaan.
“ Saya difahamkan air daun biak atau ketum mujarab untuk merawat kanak-kanak yang dihinggapi cacing dalam perut,” katanya ditemui selepas melawat rumah beberapa 
penduduk yang memerlukan bantuan di kampung Jawi Seratus, Sungai Padang di kawasan 
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang, semalam.  
Azlan menaiki motosikal bersama penduduk untuk meninjau sendiri rumah kediaman penduduk 
terbabit dan bertemu ketua keluarga terbabit bagi mendekati masalah sebenar yang mereka hadapi 
berhubung keadaan rumah masing-masing.
Beliau juga turut dimaklumkan oleh pihak Baitulmal Negeri Perlis bahawa terdapat sebanyak 11 
keluarga di kampung tersebut memohon untuk dibaik pulih 
rumah mereka disamping tiga buah rumah dibina baru.
Turut sama ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Senator Mohd. Khalid Ahmad, Pegawai Baitulmal 
kawasan Parlimen Arau, Mohamad Radzi, Pegawai Khas (Kebajikan ) Menteri Besar, Ariff Asmadi 
Ariffin dan Ketua UMNO Cawangan Jawi Seratus, Rasul Raahimi.
Bagaimanapun, Menteri Besar Perlis agak terkejut apabila mendapati  di sekeliling salah sebuah 
rumah penduduk di kampung yang dilawatinya semalam terdapat pokok-pokok ketum yang ditanam  sebagai sumber `pendapatan’ tambahan .
Tegas Azlan, beliau tidak mahu Perlis nanti terkenal sebagai negeri `pengeksport’ ketum berikutan 
sudah terdapat banyak laporan berita di media cetak dan media elektronik mengenai aktiviti peryeludupan
 daun ketum di kawasan bersempadan Perlis dengan wilayah selatan Thailand.
Beliau menegaskan, aktiviti penyeludupan ketum ini berleluasa kerana daun ketum mendapat pasaran
 tinggi di Negara jiran Thailand walaupun Negara tersebut mengharamkannya.  
 Beliau diberitahu salah seorang penduduk bahawa pokok-pokok ketum itu milik seorang penduduk yang kini sudah berpindah ke Kuala Lumpur.
Sehubungan dengan itu, Azlan menasihati penduduk di negeri ini terutama di kawasan luar bandar 
supaya tidak menjadikan tanaman ketum atau biak sebagai sumber pendapatan keluarga masing-masing kerana air ketum yang telah dicampur-aduk dengan bahan-bahan lain termasuk serbuk mentol lampu atau ubat nyamuk merbahaya kepada mereka yang 
meminumnya.
“ Sebagai orang Islam kita tidak wajar meminum air ketum atau biak yang telahpun diharamkan di 
negeri ini kerana lebih kearah keburukan dan menjejaskan kehidupan mereka yang mengamalkan
 sampai ke tahap menjadi ketagih,’’ ujarnya.
Katanya, masih banyak lagi cara lain untuk menambah pendapatan keluarga di sebalik penanaman 
pokok ketum seperti mengusahakan tanaman sayur-sayuran di tanah terbiar di sekeliling rumah untuk dijual selain keperluan keluarga sendiri.
Oleh : Khairul Nazril




No comments:

Post a Comment