Budak 7 Tahun ‘Selamat’ Rumah Dari Dijilat Api
Kangar-Seorang murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Khoon Aik, Jalan Raja Syed Alwi, Muhamad Shukor Bahari menjadi ‘hero’ apabila memadam kebakaran di rumahnya dari musnah dijilat api di Kampung Telok Jambu, di sini semalam.
Muhamad Shukor, 7, murid tahun satu sekolah berkenaan yang sedang menonton televisyen bersama sepupunya dikenali Adam, 5, dikejutkan oleh api menyala kecil pada bahagian pintu depan rumah kira-kira pukul 4.25 petang semalam.
Sebaik melihat api menyala kecil di pintu rumahnya Muhamad Shukor serta merta bergegas ke bilik air di luar rumah dan mengambil setimba air.
“ Saya terus menyimbah air beberapa kali ke tempat api sedang menyala dan api pun padam,” katanya menceritakan detik cemas memadam kebakaran kecil di bahagian pintu depan rumahnya di Kampong Telok Jambu, bintong, dekat sini, semalam.
Muhamad Shukor kemudian meminta pertolongan jiran berdekatan menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat serta ibu bapanya yang berada ditempat kerja semasa kejadian.
Ibu kanak-kanak itu, Linda Hashim,30 dan suaminya, Bahari Ibrahim , 47 yang dihubungi seorang jiran terus pulang serta mendapati hanya bahagian pintu depan rumah mereka terbakar.
“ Saya bersyukur kerana Muhamad Shukor terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, apa yang lebih penting ialah anak bungsunya itu terselamat, pada masa yang sama dia juga telah berjaya menyelamatkan harta benda bernilai termasuk kediaman mereka daripada musnah.
Sementara itu, menurut jurucakap bomba kebakaran tersebut dipercayai berpunca litar pintas di bahagian pintu hadapan rumah tersebut.
“Pihak bomba yang sampai di situ telah mendapati api rumah itu sudah dapat dikawal dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,”katanya.
oleh : Khairul Nazril
oleh : Khairul Nazril
No comments:
Post a Comment