Monday, November 25, 2013

SETIAP KAUM DIMINTA MAIN PERANAN TERUSKAN PERPADUAN
KANGAR- Setiap kaum di negeri ini diminta supaya memainkan peranan bagi terus menikmati perpaduan yang sedia ada terjalin sejak merdeka.

Senator Mohd Khalid Ahmad berkata sikap cintakan perpaduan perlu diterap dalam setiap jiwa penduduk negeri ini yang terdiri dari pelbagai kaum terutamanya Melayu, India, Cina dan Siam.

“Sikap berpuak-puak tidak akan membawa kebaikan kepada kita, malah ia memberi kesan buruk jangka masa panjang sehingga boleh menimbulkan perbalahan.

“Justeru amatlah penting perpaduan ini terus dijaga tanpa mengira apa bangsa dan agama yang kita anuti,”kata beliau selepas merasmikan Program Motivasi Belia 2013 anjuran Kelab Bell Belia Tamil Arau di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perlis di sini, semalam.

Senator Mohd. Khalid yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perlis berkata, perpaduan kaum sangat penting bagi mewujudkan suasana harmoni dan aman di negara seperti Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang etnik.

Beliau berkata, kerajaan Barisan (BN) yang terus diberi mandat memerintah negara ini  selepas pilihanraya umum ke 13 (PRU13) yang lalu sentiasa berlaku adil kepada semua kaum termasuk kepada rakyat berketurunan India.

Katanya, masyarakat daripada kaum India di Perlis yang merupakan penduduk minorit di negeri ini tidak pernah dipinggirkan daripada menikmati program kerajaan negeri termasuk bantuan tertentu untuk membantu  meningkatkan taraf hidup mereka.

Turut hadir ialah Pengerusi MIC Perlis, S. Vengadasamy, Pengarah JASA Negeri Perlis, Saiful Daneal Ibrahim, Pengerusi Belia Bell Tamil Negeri Perlis, Uthaya Kumar, bekas pengerusi Kelab Belia Bell Tamil Negeri Perlis, T. Muniandy dan Pengerusi Kelab Belia Bell Tamil Arau, Chandrahasan A/L Samynathan.

Program sehari anjuran Kelab Belia Bell Tamil Arau dengan kerjasama JASA dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis.disertai seramai 40 pelajar Tamil daripada beberapa sekolah menengah di negeri ini.

Para peserta turut mengikuti ceramah motivasi `Melahirkan Belia Berkarisma dan Cintakan Negara’ disampaikan oleh Penolong Pengarah JASA Perlis, Shuhada Sabdin.

Manakala ceramah mengenai ‘ Trend Jenayah Semasa dan Kerjaya Polis’ disampaikan Penolong Ketua Siasatan Jenayah Polis Daerah Arau, Asisten Supritendan Sharizan Abd. Rahman.





No comments:

Post a Comment