Monday, November 4, 2013


    PERLIS, SONGKHLA PERKUKUH KERJASAMA SEMPADAN
    
     
    SONGKHLA (Thailand): Kerajaan Perlis dan Wilayah Songkhla di Selatan Thailand akan memperkukuhkan kerjasama sempadan termasuk meneruskan agenda yang sudah lama
terjalin, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerjasama Sempadan Perlis Ahmad Bakri Ali.
    Beliau berkata antara agenda yang perlu diperkasa ialah mengadakan mesyuarat
dua hala antara Perlis dan Songkhla lebih kerap, iaitu tiga atau empat bulan
sekali.
    "Kita juga akan sentiasa berbincang bagi menyelesaikan masalah yang
berbangkit di sempadan," katanya kepada wartawan Malaysia selepas bertemu
Gabenor Songkhla Kritsada Boonrat pada 30 Oktober lalu.
    Ahmad Bakri berkata hubungan Perlis dan Songkhla amat berharga dan perlu
saling bekerjasama sebagai jiran yang rapat.
    Beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan sebarang masalah di
sempadan dengan semangat kejiranan yang tinggi.
    "Apa yang penting, masalah sempadan tidak menjejaskan hubungan yang sentiasa
subur. Kita mahu (hubungan baik) kekal seperti sekarang," kata Ahmad Bakri yang
mengetuai delegasi Ketua&n bsp;Jabatan Persekutuan dan Negeri Perlis dalam lawatan
kerja tiga hari ke Songkhla.
    Terdahulu, beliau bertemu Ketua Polis Region 9 Songkhla, Leftenan Jeneral
Pisit Pisutsak bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan bersama di sempadan.
    Beliau turut bertemu Komander Imigresen Bahagian 6 Songkhla Mejar Jeneral
Thatchai Pitaneelaboot di Hatyai pada sebelah petang.
    Lawatan itu turut diisi kegiatan sukan bagi merapatkan hubungan petugas
jabatan serta agensi di Perlis dan Songkhla seperti perlawanan badminton, sepak
takraw, bola tampar dan golf.
    Turut serta Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Hamdan Bahari, Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Mat Hassan dan Setiausaha Politik
Menteri Besar Perlis Senator Mohd Khalid Ahmad.
    Sementara itu, Menteri Besar Perlis Azlan Man yang tiba di Songkhla petang itu
bagi menyertai satu lagi perbincangan dengan Gabenor Songkhla.
 



No comments:

Post a Comment