Monday, November 25, 2013

PENGAMALAN PRINSIP RUKUN NEGARA MAKIN TERHAKIS

ARAU, 25 NOVEMBER – Pengamalan terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara semakin terhakis dari jiwa generasi muda sekarang, kata Menteri Besar Perlis, Tuan Azlan Man.
Menurut  beliau, kurangnya  penghayatan  dan pengamalan oleh generasi muda terhadap prinsip Rukun Tetangga menyebabkan golongan tersebut hilang jati diri serta mudah terikut budaya asing yang berunsur negative.
Tegas  Azlan, gejala social yang semakin berleluasa sekarang seperti samseng, pembuangan bayi,bunuh, rogol,ragut, buli, lari dari rumah dan berbagai kes salah laku lain adalah berpunca daripada kurang penghayatan terhadap prinsip Rukun Tetangga.  
“ Amat menyedihkan perilaku negatif itu berlaku sewenang-wenangnya tanpa segan silu bahkan mencemarkan imej bangsa negeri,”  ujar beliau pada majlis perasmian Festival Loy Krathong 2013 di Jejawi, dekat sini, kelmarin.
Menteri Besar Perlis itu diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Romli Dai yang membacakan teks ucapan beliau dan  menyempurnakan majlis perasmian Festival Loy Krathong itu.
Turut hadir ialah Gabenor Wilayah Satun, Mr. Nuachai Jiraapirak dan isteri serta rombongan selaku tetamu Festival Lor Krathong Peringkat Negeri Perlis 2013, bekas Menteri Besar dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh dan bekas Presiden Persatuan Siam Malaysia, Datuk Siew Chun A/P Eam yang merupakan Pengerusi JKKK Kampong Padang Petani, Jejawi  selaku pengerusi penganjur festival tersebut.
Azlan  juga berharap setiap rakyat di negeri ini dapat menghayati serta mengamalkan prinsip –prinsip Rukun Negara bagi menikmati kehidupan  yang lebih harmoni disamping memupuk muhibbah di kalangan berbilang kaum.
Beliau difahamkan , festival Loy Krathong yang dianjurkan setiap tahun selepas sahaja musim menuai yang jatuh pada hari ke 15 bulan 12 Kalender Siam.
“ Perayaan tradisi turun temurun kaum Siam ini bukan sahaja disambut oleh masyarakat  keturunan Siam malah oleh kaum-kaum lain termasuk Melayu di negeri ini sejak turun temurun,” ujar Azlan.
Azlan menambah, perayaanLoy Krathong juga merupakan symbol perpaduan kaum di Perlis khususnya di kalangan keturunan Melayu, China, India dan Siam.
Beliau mengajak seluruh masyarakat berbilang kaum di negeri ini bersama-sama memikul tanggungjawab dan memastikan perayaan berunsurkan kebudayaan seperti Loy Krathong ini terus disuburkan  serta dipelopori oleh generasi akan datang.
Katanya, tanpa strategi yang mantap serta komitmen yang menyeluruh daripada semua pihak , perpaduan hanya akan tiunggal sebagai satu matlamat sahaja.
Sementara itu, Cik Koh Cheng Jia Yuan, 18 dari Alor Setar, Kedah  dipilih sebagai Ratu Festival Loy Krathong Perlis 2013 mengatasi 19 peserta lain  pada peraduan sempena pesta itu.
Naib Johan disandang oleh Cik Jannyfer Selvam Mariam A/P Joseph, 19 seorang penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMap) dan ditempat ketiga ialah Cik Lee Xin Yi , 18 dari Kangar, Perlis.
Seramai 20 jelitawan termasuk dari Sabah menyertai pertandingan Ratu Festival Loy Krathong Perlis 2013 yang berlangsung di perkaranganWat Machimaprasit, Jejawi, di sini, kelmarin.








No comments:

Post a Comment