Monday, November 11, 2013

ISTERI MB PERLIS TERPESONA BAKAT KANAK-KANAK



KANGAR: Isteri Menteri Besar Perlis, Puan Nor Aswana Omar terpesona menyaksikan persembahan kanak-kanak di negeri ini yang begitu berbakat dan akan lebih terserlah sekiranya mendapat bimbingan sewajarnya.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Perlis (BAIDUNITA) kanak-kanak patut diberi peluang buat persembahan seni
supaya dapat memperlihatkan bakat mereka kepada umum.

Puan Nor Aswana turut menyarankan supaya negeri Perlis  mengetengahkan kumpulan kesenian kanak-kanak setempat bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia Perlis serta Sukan Malaysia (SUKMA) ke 17  tahun depan.

Katanya ini kerana persembahan kanak-kanak sering dapat menarik perhatian khalayak selain mendedahkan mereka untuk menghargai seni budaya.

“Dalam konteks kanak-kanak ini, saya berharap akan ada sekurang-kurangnya satu atau lebih kumpulan kesenian  kanak-kanak di negeri Perlis berupaya mencapai tahap cemerlang.

“Jika mereka tidak setanding dengan kumpulan Permata Seni Negara pun, memadai sekiranya mampu bersaing dengan kumpulan kanak-kanak negeri-negeri lain yang sering mendapat tempat dan peluang mengadakan persembahan hingga ke luar negara,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas festival bimbingan seni budaya negeri Perlis di Kompleks Kebudayaan dan Kesenian Negeri di sini, kelmarin.
Nor Aswana berkata perkara itu tidak mustahil untuk dicapai sekiranya ada komitmen yang tinggi daripada semua pihak khususnya ahli-ahli kumpulan, para jurulatih, pihak pengurusan dan sokongan padu daripada ibu bapa.

Jesteru katanya sebagai masyarakat yang cintakan seni dan budaya perlu menyokong penuh usaha-usaha seperti ini demi melahirkan generasi yang terus memelihara budaya dan seni tanah Melayu.


No comments:

Post a Comment