Wednesday, June 19, 2013

Padang Besar, 14 JUN -- Dua beranak serta seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangi masing-masing bertembung dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Panggas-Guar Nangka, dekat sini, semalam.
   Mangsa dua beranak yang terbunuh dikenal pasti sebagai Chen Cha Cha, 35 bersama anak lelakinya Chuah Zheng Zhang, berusia tujuh tahun.
   Turut terbunuh seorang remaja Mohd Affendy Halim, 19, seorang pekerja Kilang Gula Felda Perlis (KGFPs) yang menunggang motosikal seorang diri, dalam kejadian jam 8.30 malam.
   Difahamkan kemalangan menyebabkan dua motosikal ditunggangi Cha Cha dan Mohd Affendy, melekat di tengah garisan putih di atas jalan raya terbabit. 
   Ketiga-tiga mangsa berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.
   Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Che Man Md Dros, ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kemalangan yang mengorbankan tiga mangsa, termasuk ibu bersama anak kecilnya.
  Katanya, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan bahagian dalaman badan.
  Beliau berkata, ketika kejadian, Cha Cha menunggang motosikal jenis Yamaha SRX sambil membonceng anak bongsunya dalam perjalanan dari Bukit Keteri menghala Guar Nangka.
  "Motosikal ditunggangi ibu berkenaan bertembung secara berhadapan dengan Mohd Affendy yang menunggang motosikal jenis EX5  di tengah jalan raya terbabit.
  "Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi.
  Che Man berkata, kes disiasat mengikuit Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
  Beliau turut menasihati pengguna supaya berhati-hati ketika memandu atau menunggang motosikal  di sekitar jalan raya di sini kerana sebahagian besarnya masih dalam proses baik pulih.
   Sementara itu, Suami Cha Cha berkata, isterinya menjalankan perniagaan sebagai tukang jahit sendiri dan  dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru Pauh ketika kemalangan terbabit.
  "Anak bongsu saya pada mulanya enggan menemani ibunya pergi ke rumah keluarga isteri di Bukit Keteri, tetapi selepas dipujuk akhirnya Zheng bersetuju. Saya tidak menjangka kedua-dua mereka akan pergi buat selamanya," katanya.
  Abang Mohd Affendy, Mohd Faizul, 21 pula berkata, adiknya dalam perjalanan ke tempat kerja semula selepas berhenti berehat untuk makan di rumahnya di Kampung Guar Nangka.
  "Saya yang bergegas ke tempat kejadian,  menjadi kaku selepas melihat mayat adik terbujur kaku di tengah jalan raya yang agak gelap tanpa lampu jalan," katanya.

No comments:

Post a Comment