Thursday, June 6, 2013

 UPP TAHAN 31 PATI  DI KEBUN GETAH


Seorang kanak-kanak yang berusia 2 tahun
CHUPING, 6 JUN --  Unit Pencegah Penyeludupan (UPP)  Chuping menahan  31 pendatang asing tanpa izin (PATI) berumur 2 hingga 60 tahun di kebun tanaman anak getah  dekat kawasan sempadan Malaysia- Thailand di FELDA Chuping awal pagi ini.

Komander UPP Perlis, ASP Syed Basri Syed Ali berkata, mereka terdiri 24 warga Myanmar, enam Bangladesh dan seorang warga India ditahan jam 3.30 pagi  di dalam kawasan kebun  tanaman anak getah di belakang kandang kuda Felda Chuping, kira-kira 2 kilometer dari sempadan negara jiran.

Penterjemah bahasa menerangkan sesuatu
kepada ASP Syed Basri
Menurut ASP Syed Basri,  terdapat seorang kanak-kanak lelaki berumur 2 tahun  dan tujuh wanita di kalangan 24 warga Myanmar yang ditahan bersama enam rakyat Bangladesh dan seorang rakyat India itu.

Beliau  menjelaskan, tangkapan 31 PATI oleh lapan anggota risik UPP Chuping diketuai Sarjan Mejar Ahmad pagi ini ialah berikutan hasil siasat yang dijalankan ke atas 21 PATI yang ditahan pada 29 Mei lalu.

Beliau menambah, kesemua PATI dipercayai dibawa oleh tekong darat  membolosi pagar sempadan Malaysia- Thailand antara jam 11.00 malam hingga jam 3.00 pagi. Kata ASP Syed Basri, PATI warga Myanmar datang dari satu daerah dikenali Tamong  sementara PATI warga Bangladesh daripada daerah Cox  Bajai menaiki bot ke Thailand sebelum berjalan kaki selama lima hari  meredah hutan ke sempadan Malaysia- Thailand.


Tambahnya, semua PATI terbabit diserahkan kepada pihak berkuasa Imigresen dan akan disiasat di bawah Seksyen 6(3 )Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002  kerana tiada dokumen perjalanan yang sah memasuki negara ini.


Katanya, setiap PATI warga Myanmar membayar sehingga RM7,000 manakala PATI dari Bangladesh sebanyak RM6,500 kepada ejen di negara jiran untuk urusan memasuki Malaysia. 
Susun Atur Oleh : nana_diyana272@yahoo.com



No comments:

Post a Comment